Aku burung,didalam sangkar,
Hidup terkurung,hatiku susah,
Ingin aku, terbang bebas,
Berkawan-kawan, tinggi di awan....
Lama Faqif memandang adik perempuannya Azra Afiqah yang sedang bernyanyi kecil di tepi jendela rumah mereka, sayu terdengar di telinganya kala itu. Tatkala itu juga dia teringatkan arwah abahnya. Semangat dan kekuatan yang dimilikinya kini itulah yang mungkin diwarisi olehnya. Sejak kehilangan abah tercinta, dia banyak berkorban untuk adik-adik dan ibunya. Bagi Faqif, kegembiraan mereka adalah perisai hidupnya. Perisai kekuatan buat dirinya terus berbakti untuk keluarga tercinta.
Masih terngiang-ngiang lagi akan kata-kata Pak Longnya kepada mereka sekeluarga setelah arwah abahnya meninggal dunia. ''Dengar sini baik-baik ya Jah, Laki kau tu cuma anak angkat ja, jadi rumah nie sekarang bukan lagi korang punya, Kau anak beranak jangan nak menyusahkan aku, Halim dah tak ada lagi kat dunia nie, jadi korang boleh angkat kain baju dan pergi dari rumah nie, lepas tue pandai-pandailah korang nak cari makan.''
Berbekalkan sisa-sisa semangat yang ada serta baki wang simpanan yang arwah abah tinggalkan, mereka sekeluarga meninggalkan kampung dan mencari rumah baru untuk menumpang teduh. Rumah teres kos rendah yang didiami kinilah menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh dari hujan dan panas. Kalau dahulu, rumah banglo kampung milik arwah abahnya yang diberikan oleh Mak Tok memberi lebih keselesaan buat mereka. Tapi kini mereka tetap bersyukur kerana mempunyai tempat tinggal walaupun tidak seperti dahulu sebelum mereka meninggalkan kampung halaman akibat hasad dengki orang.
Semenjak itulah, dia menanam azam untuk mengubah corak dan rentak kehidupan mereka sekeluarga. Kini, dia telah berjaya menamatkan pengajian di salah sebuah Institusi kemahiran di ibu kota. Dia percaya kursus pengurusan perniagaan yang diceburinya itu dapat membantu niatnya. Cita-citanya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan menjadi seorang usahawan berjaya juga akan tercapai suatu hari nanti.


0 comments:
Post a Comment